Sunday, February 23, 2020

Penularan Wabak Novel Corona Virus (Covid-19) Tahun 2020

Selamat Datang ! :)

Kita bersua lagi di entri blog saya yang kedua ini. 
Pada entri kali ini saya akan berkongsi tentang satu isu semasa yang amat hangat diperkatakan di seluruh pelosok dunia. Tidak asing lagi dengan tajuk utama blog ini, ianya tentang penularan wabak Novel Corona Virus yang berasal dan berpusat di Wuhan, China. Wabak ini menular pada saat-saat di mana semua rakyat sibuk dengan persediaan Tahun Baru Cina dan masing-masing ingin pulang ke kampung halaman mereka, hal ini tidak terkecuali bagi penduduk-penduduk yang tinggal di Wuhan. Bagi mengelakkan stigma, stereotaip dan kekeliruan nama virus tersebut telah ditukar kepada Covid-19. Co bermaksud Corona, Vi bermaksud virus dan D bermaksud penyakit ("disease").

Sebelum saya curahkan cebisan-cebisan pemikiran saya tentang isu ini, mari kita kenali dan fahami apakah sebenarnya Covid-19 ini?

Menurut World Health Organization (WHO), Corona Virus merupakan sejenis keluarga virus yang besar. Virus tersebut boleh mendatangkan penyakit yang ringan seperti selsema biasa kepada penyakit yang lebih serius seperti "Middle East Respiratory Syndrome" (MERS-CoV) dan "Severe Acute Respiratory Syndrome"(SARS-CoV). Novel Corona virus pula merupakan sejenis virus baharu yang belum pernah didapati menjangkiti manusia sebelum ini. Virus Corona ini boleh merebak antara haiwan dengan manusia dan terdapat juga jenis virus Corona lain yang telah dikenalpasti merebak dalam kalangan haiwan tetapi belum pernah merebak di dalam kalangan manusia.

Wabak Covid-19 ini, seperti yang kita semua sudah sedia maklum, boleh merebak melalui batuk, bersin dan juga melalui mata. Oleh itu, individu perlulah memakai topeng muka, menjaga kebersihan diri terutama sekali bahagian tangan, mengelak menyentuh bahagian muka dengan tangan yang belum di basuh dan menjauhkan diri daripada individu lain yang menunjukkan simptom-simptom jangkitan. Statistik terkini Covid-19 di seluruh dunia yang telah dikeluarkan oleh WHO setakat jam 10 pagi hari ini (23 Februari)  menyatakan bahawa 78,620 kes individu telah dijangkiti, dengan 29 buah negara terlibat. Jumlah keseluruhan kematian juga meningkat sebanyak 2,459 dimana majoriti kes berasal dari negara Cina. Disebalik jumlah yang mengerikan ini, terdapat juga perkembangan positif dengan jumlah kes yang telah sembuh di seluruh dunia sebanyak 22, 931 termasuk 18 individu di negara kita, Malaysia.

Sesungguhnya, kes penularan wabak Covid-19 ini telah menggemparkan dunia dengan bilangan jangkitan dan kematian yang tinggi serta jangka masa penularannya yang begitu pantas. Kesedaran penduduk bumi juga meningkat dan mereka telah mengambil langkah berjaga-jaga agar diri mereka dan orang yang tersayang terhindar daripada wabak Covid-19. Berikutan itu, topeng muka dan pembersih tangan di farmasi dan kedai ubat-ubatan berada dalam bilangan stok yang amat kritikal.

Berdasarkan pengalaman saya, dua minggu sebelum penerbangan balik ke Universiti Putra Malaysia, saya dinasihatkan oleh ibu saya untuk membeli topeng muka dan pembersih tangan, namun setiap langkah dan tenaga yang di buang untuk ke farmasi dan kedai ubat-ubatan dibalas dengan kekecewaan. Sesampainya saya di Selangor, saya meneruskan pencarian saya, namun perkara yang sama berlaku dan kata-kata yang sama diulang " maaf cik, kami kehabisan stok". Selain itu, terdapat juga kes-kes pecah dan masuk, kecurian dan kes ragut yang berlaku, namun sasaran pada kali ini bukanlah harta benda dan kekayaan, sebaliknya topeng muka! Ya, begitu mengerikan sekali penularan wabak ini sehingga terdapat segelintir individu yang sanggup untuk mencuri topeng muka yang disimpan dalam rumah atau kereta, ataupun meragut sekotak topeng muka daripada seorang nenek tua yang baru sahaja keluar dari farmasi selepas membelinya.

*********************************************************

Sudut Luahan :

Berikutan kes penularan wabak Covid-19 dan sikap segelintir manusia yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup melakukan jenayah, saya amat berharap agar anda semua berhati-hati dan sentiasa menjaga kebersihan diri dan jauhi persekitaran yang sesak dipenuhi dengan orang-orang awam, terutama sekali tempat yang terkenal dengan aktiviti-aktiviti pelancongan buat seketika ini. Amat bernaslah kita untuk mengambil langkah yang berhati-hati agar kita semua terhindar daripada wabak ini dan janganlah sudah terhantuk baru terngadah. Selain itu, marilah kita sentiasa berdoa bagi orang-orang yang sedang menderita disebabkan oleh wabak ini dan juga ahli-ahli medik dan perubatan yang bekerja bersungguh-sungguh siang dan malam untuk mengawal dan memerangi penularan wabak ini. Tidak lupa juga untuk berdoa kepada Ilahi agar kita sentiasa dilindungi dan terhindar daripada wabak Covid-19.

Sekian sahaja bagi entri blog kali ini ! (:
Semoga kita berjumpa lagi di entri-entri blog yang akan datang.

Monday, February 17, 2020

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Selamat datang semua, ke entri blog saya yang pertama! :D 
Dalam blog ini saya akan menceritakan tentang pengalaman pertama saya menghadiri kuliah Penglahiran Bakat Kreatif (BBK3410) di Universiti Putra Malaysia untuk tahun pertama semester yang kedua.

Setelah sebulan bercuti dan menghabiskan masa bersama keluarga yang tercinta di Sabah, saya telah kembali ke Serdang, Selangor dengan semangat yang berkobar-kobar dan azam yang baru untuk menakluki semester kedua yang bakal mendatang. Pada minggu yang pertama, hari Rabu, jam sembilan pagi, saya dan rakan-rakan saya yang lain telah menghadiri kuliah pertama BBK3410 yang bertempat di DKAP D-2.
Pensyarah bagi subjek ini merupakan seorang pensyarah yang penuh dengan motivasi dan semangat. Beliau ialah Dr Kamariah Kamarudin.

Pada jam yang pertama dan kedua bagi kuliah yang berdurasi tiga jam itu, beliau telah menjelaskan tentang skop-skop topik yang akan kami pelajari sepanjang waktu kuliah bagi 14 minggu yang akan datang. Penjelasan beliau amatlah teliti dan mendalam, tidak lupa juga diselitkan kata-kata semangat dan motivasi bagi kami pelajar barunya untuk membebaskan kreativi yang terpendam dalam diri kami serta mencurahkan segala cinta dan usaha untuk melahirkan karya yang berkualiti. Seorang rakan saya mengatakan bahawa dia terasa seperti ingin mendaki dan menakluki puncak gunung kerana dia berasa sungguh bermotivasi dan bersemangat apabila mendengar kata-kata dorongan daripada Dr. Kamariah. Sesungguhnya saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh rakan saya, kerana sepanjang kuliah tidak luput semangat dan aura yang bertenaga yang dikeluarkan oleh beliau ketika berbicara.

Pada jam yang ketiga pula, kami dijemput untuk satu persatu tampil ke hadapan untuk memperkenalkan diri kami dan bercakap tentang nama, asal-usul, program ijazah yang diambil dan buku-buku yang pernah kami baca. Setelah itu, kuliah bagi BBK3410 yang pertama pun selesai.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sudut Luahan:

Di sini saya juga ingin kongsikan sedikit perasaan dan cebisan pemikiran saya tentang BBK3410. Saya berasa bahawa subjek ini sangat menarik kerana ia dapat mencabar minda dan kreativiti saya untuk menghasilkan karya yang berkualiti terutama sekali karya dalam Bahasa Melayu. Sebelum ini, semua karya-karya ringkas yang saya pernah hasilkan adalah dalam Bahasa Inggeris. Subjek ini juga mendorong saya keluar dari zon selesa saya dan juga mendorong saya untuk berkarya semula setelah dua tahun tergendala. Semoga dengan pengalaman saya mengambil subjek ini, saya dapat meningkatkan lagi kreativiti saya dan dapat menghasilkan karya yang lebih bagus tidak kira dalam Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Melayu.

Sekian saja dari saya bagi entri pertama ini !
Kita jumpa lagi di entri-entri yang akan datang ;)