Monday, February 17, 2020

Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Selamat datang semua, ke entri blog saya yang pertama! :D 
Dalam blog ini saya akan menceritakan tentang pengalaman pertama saya menghadiri kuliah Penglahiran Bakat Kreatif (BBK3410) di Universiti Putra Malaysia untuk tahun pertama semester yang kedua.

Setelah sebulan bercuti dan menghabiskan masa bersama keluarga yang tercinta di Sabah, saya telah kembali ke Serdang, Selangor dengan semangat yang berkobar-kobar dan azam yang baru untuk menakluki semester kedua yang bakal mendatang. Pada minggu yang pertama, hari Rabu, jam sembilan pagi, saya dan rakan-rakan saya yang lain telah menghadiri kuliah pertama BBK3410 yang bertempat di DKAP D-2.
Pensyarah bagi subjek ini merupakan seorang pensyarah yang penuh dengan motivasi dan semangat. Beliau ialah Dr Kamariah Kamarudin.

Pada jam yang pertama dan kedua bagi kuliah yang berdurasi tiga jam itu, beliau telah menjelaskan tentang skop-skop topik yang akan kami pelajari sepanjang waktu kuliah bagi 14 minggu yang akan datang. Penjelasan beliau amatlah teliti dan mendalam, tidak lupa juga diselitkan kata-kata semangat dan motivasi bagi kami pelajar barunya untuk membebaskan kreativi yang terpendam dalam diri kami serta mencurahkan segala cinta dan usaha untuk melahirkan karya yang berkualiti. Seorang rakan saya mengatakan bahawa dia terasa seperti ingin mendaki dan menakluki puncak gunung kerana dia berasa sungguh bermotivasi dan bersemangat apabila mendengar kata-kata dorongan daripada Dr. Kamariah. Sesungguhnya saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh rakan saya, kerana sepanjang kuliah tidak luput semangat dan aura yang bertenaga yang dikeluarkan oleh beliau ketika berbicara.

Pada jam yang ketiga pula, kami dijemput untuk satu persatu tampil ke hadapan untuk memperkenalkan diri kami dan bercakap tentang nama, asal-usul, program ijazah yang diambil dan buku-buku yang pernah kami baca. Setelah itu, kuliah bagi BBK3410 yang pertama pun selesai.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sudut Luahan:

Di sini saya juga ingin kongsikan sedikit perasaan dan cebisan pemikiran saya tentang BBK3410. Saya berasa bahawa subjek ini sangat menarik kerana ia dapat mencabar minda dan kreativiti saya untuk menghasilkan karya yang berkualiti terutama sekali karya dalam Bahasa Melayu. Sebelum ini, semua karya-karya ringkas yang saya pernah hasilkan adalah dalam Bahasa Inggeris. Subjek ini juga mendorong saya keluar dari zon selesa saya dan juga mendorong saya untuk berkarya semula setelah dua tahun tergendala. Semoga dengan pengalaman saya mengambil subjek ini, saya dapat meningkatkan lagi kreativiti saya dan dapat menghasilkan karya yang lebih bagus tidak kira dalam Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Melayu.

Sekian saja dari saya bagi entri pertama ini !
Kita jumpa lagi di entri-entri yang akan datang ;)

No comments:

Post a Comment