Sunday, March 15, 2020

Percutian singkat ke Stephanie Garden, Kiaru Beach Cabin, Kuala Penyu, Sabah!

Selamat kembali !

Bersua lagi kita pada entri blog saya kali ini.
Semoga semua sihat walafiat dan ceria selalu. (:

Entri pada kali ini saya akan berkongsi tentang pengalaman kembara saya bersama-sama dengan keluarga tercinta ke pusat peranginan tepi pantai dikenali sebagai Stephanie Garden, Kiaru Beach Cabin yang bertempat di Kuala Penyu, Sabah. Percutian singkat selama dua hari tersebut jatuh pada musim perayaan Tahun Baru Cina 2020. Percutian tersebut juga adalah sewaktu saya pulang ke Negeri Di Bawah Bayu bersempena dengan cuti semester satu. Memandangkan kami sekeluarga berketurunan Sino-Kadazan (kaum yang mempunyai campuran darah Kadazan dan Cina), kami sekali gus menyambut perayaan Tahun Baru Cina di pusat peranginan tersebut. Percutian singkat ini merupakan salah satu memori yang telah mewarnai permulaan tahun 2020 saya.

Pada hari pertama percutian, kami telah berangkat dari rumah seawal pukul 6.30 pagi. Destinasi pertama kami merupakan sebuah restoran yang terletak di Pekan Papar bagi menjamu sarapan pagi bersama-sama. Semasa menunggu makanan disediakan, saya dan keluarga rancak berborak. Maklumlah, sudah beberapa bulan semenjak kali terakhir saya berjumpa dan berborak secara bersemuka dengan mereka. Ketika itu, perasaan gembira dan lega membuak-buak dalam diri. Perasaan rindu dan risau semuanya lesap ketika kembali berada dalam pangkuan keluarga tersayang. Betapa bersyukurnya saya kepada Ilahi kerana dianugerahkan keluarga yang amat menyayangi saya. Setelah selesainya sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Penyu. Setelah dua jam setengah perjalanan, kami pun sampai ke destinasi. Keindahan langit, laut dan alam yang menakjubkan terpampang luas di hadapan kami. Begitu sejuk mata memandang keadaan sekeliling di sana. Langitnya biru, burung-burung berkicauan dan angin nyaman mengurangkan panas cuaca.

Hari pertama kami dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang, bagi saya, amat menyeronokkan. Memandangkan tempat tersebut hanya beberapa langkah jauhnya dari cabin tempat kami menginap, ahli-ahli keluarga saya mengambil kesempatan untuk memancing (hobi masa lapang kegemaran mereka. :D). Ada juga yang bersantai di kerusi malas mengamati suasana nyaman dan menghargai detik-detik indah pada waktu itu. Pada petang hari, kami bermain bola tampar di tepi pantai. Sejujurnya, hari itu merupakan hari pertama dalam seumur hidup saya bermain bola tampar kerana selama ini saya mengelakkan diri daripada aktiviti sukan yang melibatkan bola disebabkan pengalaman pahit bersama objek sfera tersebut sewaktu kecil. Saya berasa sangat seronok dan perasaan takut yang ada dalam diri hilang serta merta. Makan malam pula kami sediakan bersama-sama, kami membahagikan tugas agar makan malam dapat disiapkan tepat pada masa makan. Selepas makan malam pula, kami mengadakan aktiviti karaoke dan berborak-borak.

Keesokan harinya, saya dikejutkan oleh saudara saya pada jam 6.50 pagi untuk melihat pemandangan pagi yang begitu indah. Memandangkan air ketika itu surut, kami mengambil peluang keemasan tersebut untuk berjalan-jalan disekitar kawasan yang airnya surut dan terdedah. Tidak ketinggalan juga mengambil kesempatan untuk bermain dengan air laut di waktu pagi. Ianya amat menyegarkan. Sekitar waktu tengah hari, kami pun meninggalkan tempat tersebut dengan perasaan yang sedikit pilu dan gembira. Perasaan pahit manis untuk meninggalkan sesuatu tempat yang telah menciptakan memori-memori indah pasti sudah dilalui oleh semua orang.

+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_+_

Sudut Luahan : 

Percutian singkat tersebut begitu bermakna bagi saya. Bukan sahaja kerana saya dapat melunaskan rindu terhadap keluarga saya tetapi saya juga dapat meluangkan masa bersama mereka dan mencipta satu lagi memori yang tidak ternilai yang akan saya bawa sehingga akhir nafas. Di sini, saya ingin menekankan tentang "masa". Luangkanlah masa anda bersama keluarga setiap kali diberikan kesempatan, hidup ini singkat dan tidak dapat diramal, hiduplah dalam masa kini, menghargai setiap detik yang berlalu bersama orang-orang yang anda sayangi agar kelak tiada beban sesalan yang harus anda pikul melalui masa-masa anda di bumi pinjaman daripada Ilahi ini.

Sekian saja daripada saya di entri blog kali ini!
Semoga kita berjumpa lagi di entri blog yang akan datang. ;)

*Saya sertakan beberapa gambar percutian tersebut. Dipersilakan untuk melihatnya.


Pemandangan di waktu pagi.


Kembara mini ke puncak bukit batuan.





Saya dan kakak saya yang ke-3.


Suasana petang di sekitar cabin.



No comments:

Post a Comment