Saturday, July 25, 2020

Nukilan Ikhlas Ditujukan Kepada Dr. Kamariah (Pensyarah Subjek Penglahiran Bakat Kreatif)

Selamat Sejahtera !

Semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat. Entri kali ini saya tujukan khas untuk pensyarah subjek BBK3410, DR Kamariah binti Kamarudin.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan beribu-ribu ucapan terima kasih kepada Dr kerana telah mencurahkan kami dengan ilmu pengetahuan dan mendorong kami untuk mengasah bakat kami dalam bidang penulisan. Tanpa dorongan Dr, tentunya kami sebagai anak-anak murid Dr tidak akan mempunyai keyakinan untuk menghasilkan karya dan menghantar karya-karya kami itu kepada editor. Setiap motivasi dan nasihat yang Dr telah berikan kepada kami sama ada secara bersemuka atau maya, sedikit sebanyak telah membentuk kami, terutama saya, untuk menjadi insan yang lebih baik.

Selain itu, Dr juga telah memberi saya inspirasi untuk terus berkarya dan untuk tidak berputus asa. Walaupun Dr seorang yang tegas, namun Dr sangat mengambil berat terhadap anak-anak murid Dr. Dr juga merupakan seorang pensyarah yang baik hati dan cukup memahami dengan situasi kami, terutama sekali sepanjang tempoh kelas maya berlangsung.

Saya mendoakan agar Dr sentiasa diberkati oleh Tuhan dan dicucuri oleh rahmatnya. Semoga Dr sihat dan ceria selalu. Saya juga ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf jika selama saya berada dalam kumpulan kuliah Dr, saya ada terkasar bahasa ataupun secara tidak sengaja menggores perasaan Dr dengan sikap atau perbuatan saya. Jaga diri Dr! 

Dunia Hiburan : Obsesi yang Melebihi Batas

Selamat Datang !

Kita bertemu lagi di platform yang kita panggil blog ini. Saya berharap anda semua berada dalam keadaan yang sihat dan ceria. Entri pada kali ini adalah kritikan saya tentang dunia hiburan, lebih spesifik lagi tentang peminat-peminat selebriti yang menceburi bidang ini.

Obsesi yang berlebihan dalam kalangan peminat terhadap selebriti pujaan hati mereka adalah tidak sihat. Hal ini demikian kerana, ia mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara yang negatif dan berbahaya. Terdapat banyak berita dan artikel tentang isu-isu yang terjadi melibatkan peminat atau fanbase ini setiap tahun. 

Antara contohnya ialah, sikap peminat yang suka menghendap dan menangkap gambar tanpa kebenaran selebriti mereka. Ya, perkara ini sememangnya berlaku. Peminat-peminat fanatik akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gambar-gambar selebriti kesukaan mereka sehinggakan sanggup untuk menjadi penghendap (stalker). Menghendap merupakan satu jenayah kerana melampaui batas privasi orang lain.

Baru-baru ini terdapat peminat-peminat atau fanbase yang melibatkan peminat-peminat dari Indonesia dan Malaysia sendiri, mengasas suatu agama baharu iaitu agama BTS di Telegram. Apa itu BTS? BTS merupakan kumpulan idol dari Korea(K-pop) dan menjadi kegilaan dalam kalangan kebanyakan remaja dan awal remaja. Mereka menukar ayat-ayat dari Al-Quran dengan menggunakan nama atau pun mana-mana perkataan yang berkenaan dengan kumpulan idola tersebut. Mereka juga menyembah ahli-ahli kumpulan dalam kumpulan BTS tersebut seperti mereka menyembah Tuhan. 

Sejujurnya saya merasa jijik dengan perkara ini. Tahap obsesi mereka sungguh melampaui batas sehingga mereka lupa bahawa mereka hanyalah umat ciptaan Tuhan. Terang lagi bersuluh bahawa obsesi sebegini mengganggu keadaan mental individu. Oleh itu, saya menyeru ibu bapa agar menjalankan tanggungjawab bagi memantau dan mengawal sikap anak-anak terhadap idola atau selebriti kesukaan mereka. Semoga perkara sebegini tidak akan lagi berlaku terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda di negara kita kerana ia sesungguhnya memalukan bagi semua pihak. 

Ingat, meminati seseorang itu tidak salah, tetapi janganlah sampai melampaui batas.

Sekian sahaja entri saya pada kali ini. Semoga berjumpa lagi. 

Unsur-unsur Keganasan dan Seksual Dalam Drama/Filem

Selamat Kembali Kawan-Kawan !

Kita berjumpa lagi dalam entri pada kali ini. Saya harap anda semua berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Semenjak adanya televisyen, bidang drama dan perfileman saban tahun semakin berkembang dan maju. Skop genre dan juga jenis filem-filem yang ditayangkan di kaca televisyen juga semakin meluas. Namun, dengan semua kemajuan ini, terdapat juga unsur-unsur filem dan drama yang negatif dan tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak dan remaja seperti filem-filem yang mempunyai unsur-unsur keganasan serta seksual. 

Tanpa bimbingan ibu bapa, unsur-unsur sebegini yang terdapat dalam filem atau drama mampu untuk mempengaruhi pemikiran mereka secara negatif. Kesucian pemikiran mereka juga boleh lenyap pada peringkat yang terlalu awal. Dunia yang semakin moden juga membekalkan banyak platform yang membolehkan seseorang individu untuk menonton filem-filem secara atas talian atau streaming. Jika kanak-kanak atau remaja tahu tentang hal sedemikian, mereka akan dengan mudah mendapat akses kepada filem-filem yang mempunyai unsur-unsur negatif ini. 

Oleh itu, ibu bapa perlulah memantau jenis filem atau drama yang ditonton oleh anak-anak dan tidak menonton filem-filem yang mempunyai unsur-unsur sebegini di hadapan mereka. 

Sekian sahaja bagi entri yang pendek ini. Kita jumpa di entri yang akan datang. :)

Mother Teresa

Selamat Datang !

Kita bersua lagi dalam entri blog kali ini. Saya harap anda semua berada dalam keadaan yang sihat. Dalam entri ini, saya akan berkongsi tentang tokoh yang cukup terkenal di seluruh dunia. Mother Teresa merupakan seorang biarawati yang menghabiskan kebanyakan masa-masa kehidupannya berkhidmat di Calcutta, India dan telah menjadi pengasas kepada Missionaries of Charity. 


Latar Belakang Mother Teresa


Beliau dilahirkan pada 1910 di Skopje, Macedonia Republik. Pada awal kehidupannya, beliau mendapat panggilan untuk menjadi seorang biarawati dan telah mengikuti sekumpulan biarawati di Ireland ketika berumur 18 tahun. Selepas beberapa bulan menjalani latihan di bawah bimbingan Sisters of Loreto, beliau dibenarkan untuk ke Calcutta, India. Ini merupakan titik permulaan kepada misi beliau. Pada mulanya, beliau mula bekerja sebagai seorang guru. Namun, melihat keadaan masyarakat di Calcutta, hati beliau tergerak untuk membantu mereka. Usaha beliau dan para biarawati yang lainnya lama-kelamaan mendapat perhatian daripada masyarakat dan pihak kerajaan di Calcutta. Pada tahun 1952, beliau telah mendirikan sebuah rumah yang dikhaskan bagi orang-orang yang bakal menemui ajal disebabkan oleh penyakit-penyakit kronik.

Sehingga tahun 2013, terdapat 700 misi yang beroperasi di lebih 130 negara di seluruh dunia. Bidang kerja misi-misi ini juga telah berkembang. Kini mereka juga membantu golongan yatim piatu dan menyediakan rumah tumpangan kepada orang-orang yang mempunyai penyakit tenat. 

Oleh kerana usaha beliau yang sangat baik dan mulia, beliau telah dianugerahkan dengan :
  • The first Pope John XXIII Peace Prize. (1971)
  • Kennedy Prize (1971)
  • The Nehru Prize –“for the promotion of international peace and understanding”(1972)
  • Albert Schweitzer International Prize (1975),
  • The Nobel Peace Prize (1979)
  • States Presidential Medal of Freedom (1985)
  • Congressional Gold Medal (1994)
  • U Thant Peace Award 1994
  • Honorary citizenship of the United States (November 16, 1996)

Beliau merupakan contoh yang baik kepada seluruh warga dunia kerana sanggup membantu orang lain yang dalam kesusahan dengan hati yang terbuka dan penuh kasih sayang.

Saya akhiri entri saya di sini. Semoga kita berjumpa lagi!
Sekian. 




Friday, July 24, 2020

Penggunaan Media Sosial oleh Kanak-kanak di Bawah Umur

Selamat Kembali Kawan-Kawan !

Bersua lagi kita dalam entri kali ini. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang ceria dan sihat. Entri kali ini merupakan sebuah kritikan saya terhadap anak-anak muda dan juga ibu bapa dalam isu penggunaan media sosial di bawah umur. 

Sejak kebelakangan ini, dengan adanya teknologi moden yang semakin hari semakin berkembang, telefon pintar mudah untuk didapati tidak kira dalam apa jua saiz dan harga. Trend ini amat berleluasa dalam kalangan masyarakat yang tinggal di bandar dan berhampiran dengan bandar. Bukan itu sahaja, saya juga melihat terdapat ramai kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang mempunyai media sosial seperti Instagram, Facebook dan lain-lain. Apa yang menjadikan isu ini lebih teruk lagi ialah apabila kanak-kanak ini menggunakan media sosial tanpa pengawasan kedua ibu bapa mereka.

Hal ini sangat berbahaya kerana kanak-kanak ini terlalu terdedah dengan dunia luar pada usia yang terlalu muda. Mereka belum boleh membezakan perkara-perkara yang buruk dan baik. Bukan itu sahaja, mereka juga mudah terpengaruh dengan budaya-budaya yang dikongsi di dalam media sosial seperti trend Tik Tok yang berleluasa pada masa kini. Banyak video-video Tik Tok anak-anak muda yang kurang menyenangkan tersebar luas di media sosial. Selain itu, terdapat juga halaman-halaman di media sosial yang boleh membahayakan nyawa kanak-kanak. Contohnya, Momo Challenge yang telah menyebabkan beberapa kes kematian disebabkan bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Momo Challenge menggunakan Whatsapp sebagai medium untuk permainan tersebut. Bukan itu sahaja, baru-baru ini terdapat satu lagi akaun baharu yang bernama "Jonathan Galindo" di Instagram, Twitter dan Tik Tok. Persis seperti Momo Challenge, akaun ini juga merupakan satu permainan di mana ia akan mencabar remaja dan kanak-kanak untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Ia bermula dengan cabaran mudah yang berakhir dengan cabaran untuk membunuh diri sendiri. Akhirnya, terdapat juga penjenayah di media sosial seperti pedofilia. Di mana, mereka mensasarkan pengguna-pengguna akaun media sosial yang di bawah umur untuk dijadikan mangsa bagi memuaskan nafsu mereka.

Berbahaya bukan?
Oleh itu, ibu bapa wajarlah memainkan peranan. Sama ada, hadkan umur penggunaan media sosial kepada anak-anak atau pantau penggunaan media sosial mereka, bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Sekian sahaja dalam entri kali ini. Jumpa lagi di entri akan datang!

Kampung Lingan Lama, Papar, Sabah : Mengimbau Zaman Kanak-kanakku

Selamat Datang !

Bersua lagi kita pada entri kali ini. Seperti kebiasaan, saya berharap agar anda semua berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Seperti yang tertera dalam tajuk entri ini, saya akan berkongsi sedikit pengalaman dan cerita tentang zaman kanak-kanak saya di kampung halaman.

Sepanjang tempoh saya membesar di sana, saya telah melalui banyak pengalaman dan kenangan yang sukar untuk dilupakan. Suasananya yang nyaman dan jauh daripada pencemaran bunyi merupakan salah satu sebab saya amat suka menetap di kampung tersebut. Pada waktu petang pula, langitnya sungguh indah kerana tidak ada sebarang pencemaran udara di sekeliling. Langit yang berwarna biru di siang hari akan bertukar kepada warna merah dan jingga pada waktu senja. Kumpulan burung bangau dalam koordinasi berbentuk "V" juga boleh dilihat terbang pulang ke sarang mereka. Pada waktu malam pula, langit malam yang terpampang luas akan dihiasi dengan kluster bintang yang berbagai warna. Suasana tersebut amat sesuai bagi peminat astrofotografi untuk menangkap gambar cakerawala.

Sewaktu saya masih kecil, saya, kakak saya dan seorang anak jiran kami akan sentiasa bermain bersama-sama. Terkadang kami akan pergi bermandi-manda di sungai yang terletak di belakang rumah saya. Oleh sebab kurang kenderaan lalu-lalang di jalan raya, kami juga akan menaiki dan bermain dengan basikal kami. Hari-hari tersebut penuh dengan gelak ketawa.

Satu pengalaman yang paling sukar untuk saya lupakan ialah apabila saya mengikuti nenek saya ke kebun padinya. Sewaktu nenek saya masih hidup, beliau suka berkebun dan menanam padi bukit. Setiap petang saya akan mengikuti beliau ke kebunnya, kakak saya yang berumur empat tahun tua dari saya juga tidak mahu ketinggalan.

Sewaktu saya berada di tahun tiga dan empat, kami mempunyai sebuah kolam ikan yang cukup besar berhampiran dengan rumah. Ia sebesar tasik. Waktu itu, setiap hujung minggu, saudara mara saya akan datang ke rumah dan kami akan menaiki rakit kecil mengelilingi kolam ikan tersebut.

Kesemua waktu-waktu berharga yang telah saya lalui, disimpan rapi oleh saya sebagai memori-memori yang indah. Sesungguhnya, pengalaman-pengalaman tersebut tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.

Baiklah, sekian sahaja perkongsian saya bagi entri kali ini. Semoga kita bersua lagi di entri yang akan datang. :)

Pengalaman di Kolej Serumpun, Kolej 14 UPM Sepanjang Tahun Pertama

Selamat Kembali ! 

Kita bersua lagi dalam entri pada kali ini. Saya berharap agar anda semua berada dalam keadaan yang sihat. Persis dalam tajuk hari ini, saya akan menceritakan tentang pengalaman saya sepanjang tahun pertama saya berada di Kolej Serumpun, Kolej 14(K14), UPM.

Saya memulakan pengajian saya di Universiti Putra Malaysia pada bulan September 2019 dan telah ditempatkan di kolej kediaman K14. Saya bersyukur kerana rakan-rakan sebilik saya merupakan orang-orang yang sangat baik dan mengambil berat dan kami telah pun menjadi rakan-rakan sebilik sehinggalah penghujung semester yang kedua ini. Banyak perkara, pahit dan manis yang telah kami lalui bersama. Bagi saya mereka merupakan keluarga kedua saya di UPM. Merekalah yang mendorong saya ketika saya rasa ingin berputus asa.

Pada minggu pertama berada di blok dan bilik yang baharu, saya dan rakan-rakan sebilik masih kurang berasa selesa. Tetapi, lama-kelamaan kami dapat membiasakan diri. Sebagai pelajar tahun pertama, kami telah pun mengikuti pertandingan perbarisan antara kolej. Sepanjang empat minggu kami berlatih dengan gigih untuk mempersiapkan diri, kami telah pun mendapat tempat yang ketiga.
Secara amnya, saya sememangnya menikmati saat-saat saya ketika berada di kolej, walaupun terdapat beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku seperti putus bekalan air selama empat hari.

Pada permulaan semester kedua pula, kami hanya dapat berkuliah selama tiga minggu dan kemudiannya kerajaan Malaysia telah menjalankan perintah kawalan pergerakan. Hal ini demikian kerana peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat secara mendadak. Oleh itu, saya dan seorang rakan sebilik saya terpaksa menjalani perintah kawalan pergerakan di kolej kediaman. Pada tempoh tersebut, kolej kediaman menjadi sangat sunyi kerana kebanyakan pelajar telah pun bergegas pulang sehari sebelum perintah kawalan pergerakan(PKP) dijalankan. Sepanjang tempoh tersebut juga, kami diberikan bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan seharian. Sesampainya satu masa kami, pelajar dari Sabah,diberikan kesempatan untuk pulang dan kos untuk pulang ke Sabah ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Saya dan rakan sebilik saya pun mengambil keputusan untuk pulang.

Itulah dia, antara pengalaman-pengalaman yang saya telah lalui sepanjang tinggal di Kolej Kediaman, Kolej 14. Saya akhiri entri saya di sini. Semoga berjumpa lagi di entri yang bakal mendatang! Sekian.

Kepelbagaian Agama di Malaysia

Hello. Salam Sejahtera dan Selamat Kembali !

Seperti kebiasaannya, saya berharap anda semua dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Nampaknya, kita bertemu lagi di entri blog saya yang ke-8 ini. Dalam entri kali ini, saya akan menyentuh tentang topik kepelbagaian agama di negara kita, Malaysia. Entri pada kali ini akan lebih kepada perasaan, pendapat serta harapan saya kepada Malaysia dan juga kita sebagai rakyatnya.

Seperti yang kita semua sedia maklum, Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana rakyatnya berasal daripada pelbagai latar belakang dan juga kaum. Begitu juga dalam konteks agama. Walaupun demikian, rakyatnya mampu untuk hidup bersama secara aman dan harmoni. Kurang atau pun langsung tidak ada sebarang kes dan perbalahan besar yang tercetus akibat perbezaan agama ini. Selain itu, perbezaan ini juga tidak menghalang masyarakat Malaysia untuk menjalinkan hubungan persahabatan yang kuat. Di sinilah, keindahan kita sebagai rakyat Malaysia terserlah. Tidak kira siapa individu itu dan apa sekali pun agamanya, kita tidak pernah gagal untuk menjalinkan suatu ikatan persahabatan. Kita juga tidak pernah gagal untuk mendorong serta menopang antara satu sama lain. Memikirkan tentang ini, sememangnya membuat saya berasa gembira dan bersyukur kerana dapat menjadi seorang rakyat Malaysia. 

Oleh itu, saya amat berharap agar keharmonian dan keamanan yang telah pun terbina ini dapat dikekalkan demi kebaikan negara kita. Bukan itu sahaja, saya juga menyeru ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka supaya mempunyai sifat menghormati antara agama lain yang terdapat di Malaysia. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, ibu bapa juga wajarlah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.

Demikian sahaja luahan hati dan harapan daripada saya. Berjumpa lagi kita di entri blog yang akan datang!

Thursday, July 23, 2020

Seni dan Budaya di Sabah : Tarian Sumazau

Selamat Kembali !

Bersua lagi kita pada entri kali ini. Saya berharap agar semua berada dalam keadaan yang sihat. Dalam entri blog ini, saya akan memperkenalkan anda dengan tarian Sumazau(dalam bahasa Kadazan) ataupun Sumayau(dalam bahasa Dusun), iaitu tarian tradisi kaum Kadazan-Dusun di Sabah.

Seperti baju tradisinya, tarian bagi kaum ini juga mempunyai pelbagai gaya dan variasi mengikut sub-etnik dan daerah. Contohnya, gaya tarian bagi kaum Kadazan-Dusun di daerah Papar sedikit berbeza dengan gaya tarian kaum Kadazan-Dusun di daerah Penampang. Perbezaan ini sangat ketara dari segi pergerakan gaya kaki dan tangan. Tarian Sumazau biasanya dipersembahkan semasa perayaan-perayaan seperti Tadau Kaamatan, perkahwinan atau pun majlis besar-besaran di Sabah.

Bilangan penari tidak terhad dan mesti berpasangan. Lebih ramai penari, lebih meriah jadinya. Rentak muzik dan paluan gong juga berbeza mengikut sub-etnik di setiap daerah. Para penari akan menari mengikut rentak muzik dengan variasi gaya tarian dan koordinasi.






Entri kali ini hanya memberikan pengenalan kepada tarian Sumazau. Jika anda berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang tarian Sumazau, kajian boleh dijalankan di banyak laman media dan laman informasi lain yang terdapat di internet.

Sekian sahaja entri pada kali ini. Jumpa lagi! 

Pakaian Tradisional Kaum Kadazan-Dusun di Sabah

Hai, Selamat Kembali !

Nampaknya, kita berjumpa lagi di entri blog pada kali ini. Saya amat berharap anda semua dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sentiasa jaga kebersihan diri, terutama sekali pada waktu pandemik ini. Dalam entri kali ini, saya akan memperkenalkan anda dengan baju tradisional Kaum Kadazan-Dusun.

Terdapat lebih daripada 30 jenis etnik di Sabah. Namun, fokus dalam entri ini adalah lebih kepada kaum Kadazan-Dusun sahaja, kerana kaum ini terbahagi lagi kepada beberapa sub-etnik dan entri ini akan menjadi terlalu panjang jika saya perkenalkan kesemua baju tradisi kaum dan etnik yang terdapat di Sabah. Baju tradisi kaum Kadazan-Dusun sendirian, boleh dipecahkan lagi mengikut daerah dan sub-etnik. Bayangkan, jika saya memilih untuk memperkenalkan baju-baju tradisi etnik  dan kaum lain yang terdapat di Sabah, tentu akan memakan masa yang sangat lama bagi anda untuk selesai membaca entri ini. Oleh itu, saya hanya akan memperkenalkan satu jenis baju tradisi kaum Kadazan-Dusun sahaja daripada satu daerah di Sabah. Daerah tersebut adalah, daerah Papar yang juga merupakan daerah kelahiran saya. Pakaian tradisi kaum Kadazan-Dusun Papar mempunyai komponen-komponen yang tersendiri termasuk perhiasan pada pakaian dan juga barangan kemas.

Baju Tradisi Kaum Kadazan-Dusun di Daerah Papar

Baju tradisi Kadazan-Dusun Papar diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam. Bagi baju wanita, ia merupakan blaus baldu berlengan panjang yang dipanggil Siya. Sebelum blaus berlengan panjang tersebut dipakai, terdapat baju dalam iaitu blaus berwarna putih yang perlu dikenakan terlebih dahulu. Setelah itu, sarong yang juga diperbuat daripada baldu hitam, dipanggil Gonob dipakai. Kemudiannya, pada bahagian kepala pula akan dikenakan topi berbentuk kon yang dipanggil Siung. Terdapat tiga jenis Siung. Jenis yang pertama ialah Siung yang berbulu binatang(burung), dalam pelbagai warna untuk wanita yang bujang. Jenis yang kedua ialah Siung yang berbunga-bunga untuk wanita yang sudah pun berkahwin dan jenis Siung yang terakhir ialah Siung yang tidak mempunyai sebarang perhiasan langsung.

Bagi lelaki pula, mereka akan mengenakan baju kemeja baldu hitam berlengan panjang bersama dengan seluar panjang yang diperbuat daripada baldu hitam juga atau kain hitam. Pada kepala mereka, mereka akan mengenakan sebuah perhiasan kepala yang dipanggil Siga. 

Pada kedua-dua pakaian wanita dan lelaki terdapat butang berwarna keemasan yang dipanggil Kubamban sebanyak lapan pasang di bahagian dada. Selain itu, lapan lagi butang berwarna keemasan dijahit pada lengan blaus. Terdapat juga renda keemasan iaitu Siling dan labuci yang dijahit disekeliling lipatan lengan dan leher. Pada sarong yang dikenakan oleh wanita, terdapat tenunan Rinangkit yang bercorak cetusan bintang dijahit secara menegak dan melintang.

Seterusnya, barangan kemas pula lebih banyak dipakai oleh golongan wanita. Mereka akan mengenakan tiga bentuk keronsang antik keemasan yang berbentuk duit syiling. Kemudiannya pada bahagian lengan, mereka menggunakan gelang perak yang dipanggil Bolilit. Akhirnya, pada bahagian pinggan pula, golongan wanita akan mengenakan tali pinggang yang berwarna perak berbentuk duit syiling yang dikenali sebagai Rupiah.


Sekarang, anda semua lebih tahu tentang baju tradisi kaum Kadazan-Dusun Papar. Semoga ia meluaskan lagi pengetahuan anda tentang baju tradisi yang terdapat di Sabah. Itu sahaja bagi entri kali ini. Semoga berjumpa lagi! Sekian.







Sumber rujukan blog : http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/pakaian.htm













Rasa Sabah @ Negeri di Bawah Bayu : Hinava dan Jeruk Bambangan

Selamat Kembali~

Kita bertemu lagi pada entri kali ini. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat dan gembira. Dalam entri ini, saya akan memperkenalkan anda semua dengan dua jenis makanan tradisi  Kadazan-Dusun yang sememangnya terkenal di Negeri di Bawah Bayu atau lebih dikenali sebagai Sabah. Kedua-dua makanan tradisi ini merupakan makanan yang telah diturunkan daripada nenek-nenek moyang di zaman dahulu kala. Jika adanya kesempatan untuk melawat negeri Sabah, saya amat sarankan anda untuk mencicipi kedua-dua jenis juadah ini untuk melengkapkan pengalaman pelancongan anda di Sabah. Tanpa membuang masa lagi, marilah kita ke makanan tradisi yang pertama.

Hinava



Hinava merupakan makanan tradisi yang diperbuat daripada isi ikan Tuna atau Mackerel(Tenggiri) mentah. Hinava merupakan Sashimi atau Sushi versi Sabah. Terlebih dahulu, isi ikan yang akan digunakan dibersihkan dengan penuh teliti. Juadah ini biasanya disediakan dengan hirisan sayur peria yang telah diperap dengan garam selama beberapa minit, hirisan cili, bawang merah yang banyak, jus limau atau cuka untuk membuang kehanyiran isi ikan tersebut, halia, garam dan gula secukup rasa. Sebatian daripada kesemua bahan-bahan, kepahitan daripada sayur peria, kepedasan cili, rasa masam jus limau atau cuka, garam, gula, halia serta bawang merah menyeimbangkan rasa juadah ini. Kebiasaannya, Hinava akan dihidangkan semasa perayaan-perayaan seperti, Tadau Kaamatan, majlis perkahwinan dan kesyukuran. Namun, jika terdapat kerajinan, ia akan dihidangkan pada hari-hari biasa. Hinava enak dimakan dengan nasi putih yang masih panas.

Jeruk Bambangan



Juadah tradisi yang kedua, tidak lain dan tidak bukan, Jeruk Bambangan! Rasa jeruk ini berkemungkinan tidak menepati cita rasa sesetengah individu, namun ia merupakan salah satu juadah yang paling terkenal dalam kalangan masyarakat di Sabah. Bambangan atau nama saintifiknya Mangifera Pajang merupakan sejenis mangga liar yang banyak boleh didapati di kepulauan Borneo (Sabah, Sarawak,Brunei dan Kalimantan). Proses penyediaan Jeruk Bambangan memerlukan sedikit kesabaran kerana isi buah ini perlu dibelah dan dipotong kepada bentuk dadu yang kecil, kemudiannya membelah kelopak bijinya yang keras. Biji mangga liar ini akan diparut dengan halus dan dimasukkan sekali ke dalam juadah tradisi ini. Ditambahkan gula dan garam secukup rasa lalu digaulkan bersama. Setelah selesai, biasanya ia akan dimasukkan  ke dalam balang dan dibiarkan selama beberapa minggu bagi proses penjerukan. Jeruk Bambangan biasanya dihidangkan sewaktu perayaan. Namun, seperti Hinava, ia juga boleh dihidangkan pada hari-hari biasa dan enak dimakan bersama dengan nasi yang panas.



Itulah dia, dua juadah tradisi yang terkenal di Negeri di Bawah Bayu. Apabila anda bercadang untuk melawat Sabah, jangan lupa untuk mencicipi dua juadah ini.

Sekian sahaja bagi entri kali ini. Kita bersua lagi di entri yang akan datang!






Buku Koleksi Puisi : The Songs of Innocence and of Experience oleh William Blake

Selamat Datang~ 

Bersua lagi kita dalam entri pada kali ini. Semoga kalian sihat-sihat sahaja.
Entri pada kali ini adalah tentang sebuah buku kreatif yang pernah saya baca sewaktu saya berada di tingkatan empat. Buku kreatif tersebut berjudul The Songs of Innocence and of Experience karya William Blake. Buku tersebut merupakan buku koleksi puisi yang ditulis oleh beliau.

William Blake merupakan seorang penyajak pada era Romantik di England pada ketika dahulu. Beliau lahir pada 28 November 1757 dan meninggal pada 12 Ogos 1827 disebabkan oleh penyakit yang tidak dapat dikenal pasti. Beliau mula berkarya ketika beliau berumur 10 tahun. Selain menulis, beliau juga mempunyai bakat dalam seni lukisan. Karya tulisan dan lukisan beliau adalah sering berkait rapat antara satu sama lain. Sepanjang hidup beliau, karya-karya beliau kurang diberikan perhatian. Beliau dan karya-karya beliau hanya menjadi terkenal selepas kematian beliau.

Mengapa buku ini menarik perhatian saya ?


Buku ini menarik perhatian saya kerana ia merupakan antara salah satu karya terkenal beliau. Setiap sajak dalam buku ini diikuti dengan lukisan dan lakaran yang menggambarkan konteks isi yang beliau ingin sampaikan melalui sajak-sajak tersebut. Seterusnya, bukan sahaja cara dan konteks penulisannya yang menarik minat saya, tetapi koleksi sajak-sajak tersebut juga membuka minda dan mata saya tentang beberapa perkara penting dalam kehidupan ini. Secara amnya, buku ini merupakan koleksi buku yang menarik dan eye opening.

Sesungguhnya, terdapat banyak lagi buku koleksi sajak-sajak beliau. Pada cuti semester akan datang ini, saya berazam untuk menerokai sajak-sajak dan karya beliau yang lain. Secara jujurnya, beliau merupakan salah satu tokoh sastera yang mendorong saya untuk mengambil aliran sastera bahasa Inggeris di UPM. Saya amat berharap agar saya dapat menghasilkan karya-karya yang menarik seperti beliau.

Baiklah, setakat ini sahaja entri saya pada kali ini. Semoga kita dapat bersua lagi di entri akan datang!
Sekian.