Saturday, July 25, 2020

Dunia Hiburan : Obsesi yang Melebihi Batas

Selamat Datang !

Kita bertemu lagi di platform yang kita panggil blog ini. Saya berharap anda semua berada dalam keadaan yang sihat dan ceria. Entri pada kali ini adalah kritikan saya tentang dunia hiburan, lebih spesifik lagi tentang peminat-peminat selebriti yang menceburi bidang ini.

Obsesi yang berlebihan dalam kalangan peminat terhadap selebriti pujaan hati mereka adalah tidak sihat. Hal ini demikian kerana, ia mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara yang negatif dan berbahaya. Terdapat banyak berita dan artikel tentang isu-isu yang terjadi melibatkan peminat atau fanbase ini setiap tahun. 

Antara contohnya ialah, sikap peminat yang suka menghendap dan menangkap gambar tanpa kebenaran selebriti mereka. Ya, perkara ini sememangnya berlaku. Peminat-peminat fanatik akan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan gambar-gambar selebriti kesukaan mereka sehinggakan sanggup untuk menjadi penghendap (stalker). Menghendap merupakan satu jenayah kerana melampaui batas privasi orang lain.

Baru-baru ini terdapat peminat-peminat atau fanbase yang melibatkan peminat-peminat dari Indonesia dan Malaysia sendiri, mengasas suatu agama baharu iaitu agama BTS di Telegram. Apa itu BTS? BTS merupakan kumpulan idol dari Korea(K-pop) dan menjadi kegilaan dalam kalangan kebanyakan remaja dan awal remaja. Mereka menukar ayat-ayat dari Al-Quran dengan menggunakan nama atau pun mana-mana perkataan yang berkenaan dengan kumpulan idola tersebut. Mereka juga menyembah ahli-ahli kumpulan dalam kumpulan BTS tersebut seperti mereka menyembah Tuhan. 

Sejujurnya saya merasa jijik dengan perkara ini. Tahap obsesi mereka sungguh melampaui batas sehingga mereka lupa bahawa mereka hanyalah umat ciptaan Tuhan. Terang lagi bersuluh bahawa obsesi sebegini mengganggu keadaan mental individu. Oleh itu, saya menyeru ibu bapa agar menjalankan tanggungjawab bagi memantau dan mengawal sikap anak-anak terhadap idola atau selebriti kesukaan mereka. Semoga perkara sebegini tidak akan lagi berlaku terutama sekali dalam kalangan anak-anak muda di negara kita kerana ia sesungguhnya memalukan bagi semua pihak. 

Ingat, meminati seseorang itu tidak salah, tetapi janganlah sampai melampaui batas.

Sekian sahaja entri saya pada kali ini. Semoga berjumpa lagi. 

No comments:

Post a Comment