Friday, July 24, 2020

Penggunaan Media Sosial oleh Kanak-kanak di Bawah Umur

Selamat Kembali Kawan-Kawan !

Bersua lagi kita dalam entri kali ini. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang ceria dan sihat. Entri kali ini merupakan sebuah kritikan saya terhadap anak-anak muda dan juga ibu bapa dalam isu penggunaan media sosial di bawah umur. 

Sejak kebelakangan ini, dengan adanya teknologi moden yang semakin hari semakin berkembang, telefon pintar mudah untuk didapati tidak kira dalam apa jua saiz dan harga. Trend ini amat berleluasa dalam kalangan masyarakat yang tinggal di bandar dan berhampiran dengan bandar. Bukan itu sahaja, saya juga melihat terdapat ramai kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang mempunyai media sosial seperti Instagram, Facebook dan lain-lain. Apa yang menjadikan isu ini lebih teruk lagi ialah apabila kanak-kanak ini menggunakan media sosial tanpa pengawasan kedua ibu bapa mereka.

Hal ini sangat berbahaya kerana kanak-kanak ini terlalu terdedah dengan dunia luar pada usia yang terlalu muda. Mereka belum boleh membezakan perkara-perkara yang buruk dan baik. Bukan itu sahaja, mereka juga mudah terpengaruh dengan budaya-budaya yang dikongsi di dalam media sosial seperti trend Tik Tok yang berleluasa pada masa kini. Banyak video-video Tik Tok anak-anak muda yang kurang menyenangkan tersebar luas di media sosial. Selain itu, terdapat juga halaman-halaman di media sosial yang boleh membahayakan nyawa kanak-kanak. Contohnya, Momo Challenge yang telah menyebabkan beberapa kes kematian disebabkan bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Momo Challenge menggunakan Whatsapp sebagai medium untuk permainan tersebut. Bukan itu sahaja, baru-baru ini terdapat satu lagi akaun baharu yang bernama "Jonathan Galindo" di Instagram, Twitter dan Tik Tok. Persis seperti Momo Challenge, akaun ini juga merupakan satu permainan di mana ia akan mencabar remaja dan kanak-kanak untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Ia bermula dengan cabaran mudah yang berakhir dengan cabaran untuk membunuh diri sendiri. Akhirnya, terdapat juga penjenayah di media sosial seperti pedofilia. Di mana, mereka mensasarkan pengguna-pengguna akaun media sosial yang di bawah umur untuk dijadikan mangsa bagi memuaskan nafsu mereka.

Berbahaya bukan?
Oleh itu, ibu bapa wajarlah memainkan peranan. Sama ada, hadkan umur penggunaan media sosial kepada anak-anak atau pantau penggunaan media sosial mereka, bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Sekian sahaja dalam entri kali ini. Jumpa lagi di entri akan datang!

No comments:

Post a Comment