Thursday, July 23, 2020

Rasa Sabah @ Negeri di Bawah Bayu : Hinava dan Jeruk Bambangan

Selamat Kembali~

Kita bertemu lagi pada entri kali ini. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang sihat dan gembira. Dalam entri ini, saya akan memperkenalkan anda semua dengan dua jenis makanan tradisi  Kadazan-Dusun yang sememangnya terkenal di Negeri di Bawah Bayu atau lebih dikenali sebagai Sabah. Kedua-dua makanan tradisi ini merupakan makanan yang telah diturunkan daripada nenek-nenek moyang di zaman dahulu kala. Jika adanya kesempatan untuk melawat negeri Sabah, saya amat sarankan anda untuk mencicipi kedua-dua jenis juadah ini untuk melengkapkan pengalaman pelancongan anda di Sabah. Tanpa membuang masa lagi, marilah kita ke makanan tradisi yang pertama.

Hinava



Hinava merupakan makanan tradisi yang diperbuat daripada isi ikan Tuna atau Mackerel(Tenggiri) mentah. Hinava merupakan Sashimi atau Sushi versi Sabah. Terlebih dahulu, isi ikan yang akan digunakan dibersihkan dengan penuh teliti. Juadah ini biasanya disediakan dengan hirisan sayur peria yang telah diperap dengan garam selama beberapa minit, hirisan cili, bawang merah yang banyak, jus limau atau cuka untuk membuang kehanyiran isi ikan tersebut, halia, garam dan gula secukup rasa. Sebatian daripada kesemua bahan-bahan, kepahitan daripada sayur peria, kepedasan cili, rasa masam jus limau atau cuka, garam, gula, halia serta bawang merah menyeimbangkan rasa juadah ini. Kebiasaannya, Hinava akan dihidangkan semasa perayaan-perayaan seperti, Tadau Kaamatan, majlis perkahwinan dan kesyukuran. Namun, jika terdapat kerajinan, ia akan dihidangkan pada hari-hari biasa. Hinava enak dimakan dengan nasi putih yang masih panas.

Jeruk Bambangan



Juadah tradisi yang kedua, tidak lain dan tidak bukan, Jeruk Bambangan! Rasa jeruk ini berkemungkinan tidak menepati cita rasa sesetengah individu, namun ia merupakan salah satu juadah yang paling terkenal dalam kalangan masyarakat di Sabah. Bambangan atau nama saintifiknya Mangifera Pajang merupakan sejenis mangga liar yang banyak boleh didapati di kepulauan Borneo (Sabah, Sarawak,Brunei dan Kalimantan). Proses penyediaan Jeruk Bambangan memerlukan sedikit kesabaran kerana isi buah ini perlu dibelah dan dipotong kepada bentuk dadu yang kecil, kemudiannya membelah kelopak bijinya yang keras. Biji mangga liar ini akan diparut dengan halus dan dimasukkan sekali ke dalam juadah tradisi ini. Ditambahkan gula dan garam secukup rasa lalu digaulkan bersama. Setelah selesai, biasanya ia akan dimasukkan  ke dalam balang dan dibiarkan selama beberapa minggu bagi proses penjerukan. Jeruk Bambangan biasanya dihidangkan sewaktu perayaan. Namun, seperti Hinava, ia juga boleh dihidangkan pada hari-hari biasa dan enak dimakan bersama dengan nasi yang panas.



Itulah dia, dua juadah tradisi yang terkenal di Negeri di Bawah Bayu. Apabila anda bercadang untuk melawat Sabah, jangan lupa untuk mencicipi dua juadah ini.

Sekian sahaja bagi entri kali ini. Kita bersua lagi di entri yang akan datang!






No comments:

Post a Comment