Thursday, July 23, 2020

Pakaian Tradisional Kaum Kadazan-Dusun di Sabah

Hai, Selamat Kembali !

Nampaknya, kita berjumpa lagi di entri blog pada kali ini. Saya amat berharap anda semua dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sentiasa jaga kebersihan diri, terutama sekali pada waktu pandemik ini. Dalam entri kali ini, saya akan memperkenalkan anda dengan baju tradisional Kaum Kadazan-Dusun.

Terdapat lebih daripada 30 jenis etnik di Sabah. Namun, fokus dalam entri ini adalah lebih kepada kaum Kadazan-Dusun sahaja, kerana kaum ini terbahagi lagi kepada beberapa sub-etnik dan entri ini akan menjadi terlalu panjang jika saya perkenalkan kesemua baju tradisi kaum dan etnik yang terdapat di Sabah. Baju tradisi kaum Kadazan-Dusun sendirian, boleh dipecahkan lagi mengikut daerah dan sub-etnik. Bayangkan, jika saya memilih untuk memperkenalkan baju-baju tradisi etnik  dan kaum lain yang terdapat di Sabah, tentu akan memakan masa yang sangat lama bagi anda untuk selesai membaca entri ini. Oleh itu, saya hanya akan memperkenalkan satu jenis baju tradisi kaum Kadazan-Dusun sahaja daripada satu daerah di Sabah. Daerah tersebut adalah, daerah Papar yang juga merupakan daerah kelahiran saya. Pakaian tradisi kaum Kadazan-Dusun Papar mempunyai komponen-komponen yang tersendiri termasuk perhiasan pada pakaian dan juga barangan kemas.

Baju Tradisi Kaum Kadazan-Dusun di Daerah Papar

Baju tradisi Kadazan-Dusun Papar diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam. Bagi baju wanita, ia merupakan blaus baldu berlengan panjang yang dipanggil Siya. Sebelum blaus berlengan panjang tersebut dipakai, terdapat baju dalam iaitu blaus berwarna putih yang perlu dikenakan terlebih dahulu. Setelah itu, sarong yang juga diperbuat daripada baldu hitam, dipanggil Gonob dipakai. Kemudiannya, pada bahagian kepala pula akan dikenakan topi berbentuk kon yang dipanggil Siung. Terdapat tiga jenis Siung. Jenis yang pertama ialah Siung yang berbulu binatang(burung), dalam pelbagai warna untuk wanita yang bujang. Jenis yang kedua ialah Siung yang berbunga-bunga untuk wanita yang sudah pun berkahwin dan jenis Siung yang terakhir ialah Siung yang tidak mempunyai sebarang perhiasan langsung.

Bagi lelaki pula, mereka akan mengenakan baju kemeja baldu hitam berlengan panjang bersama dengan seluar panjang yang diperbuat daripada baldu hitam juga atau kain hitam. Pada kepala mereka, mereka akan mengenakan sebuah perhiasan kepala yang dipanggil Siga. 

Pada kedua-dua pakaian wanita dan lelaki terdapat butang berwarna keemasan yang dipanggil Kubamban sebanyak lapan pasang di bahagian dada. Selain itu, lapan lagi butang berwarna keemasan dijahit pada lengan blaus. Terdapat juga renda keemasan iaitu Siling dan labuci yang dijahit disekeliling lipatan lengan dan leher. Pada sarong yang dikenakan oleh wanita, terdapat tenunan Rinangkit yang bercorak cetusan bintang dijahit secara menegak dan melintang.

Seterusnya, barangan kemas pula lebih banyak dipakai oleh golongan wanita. Mereka akan mengenakan tiga bentuk keronsang antik keemasan yang berbentuk duit syiling. Kemudiannya pada bahagian lengan, mereka menggunakan gelang perak yang dipanggil Bolilit. Akhirnya, pada bahagian pinggan pula, golongan wanita akan mengenakan tali pinggang yang berwarna perak berbentuk duit syiling yang dikenali sebagai Rupiah.


Sekarang, anda semua lebih tahu tentang baju tradisi kaum Kadazan-Dusun Papar. Semoga ia meluaskan lagi pengetahuan anda tentang baju tradisi yang terdapat di Sabah. Itu sahaja bagi entri kali ini. Semoga berjumpa lagi! Sekian.







Sumber rujukan blog : http://www.sabah.edu.my/skm015.wcdd/pakaian.htm













No comments:

Post a Comment