Friday, July 24, 2020

Pengalaman di Kolej Serumpun, Kolej 14 UPM Sepanjang Tahun Pertama

Selamat Kembali ! 

Kita bersua lagi dalam entri pada kali ini. Saya berharap agar anda semua berada dalam keadaan yang sihat. Persis dalam tajuk hari ini, saya akan menceritakan tentang pengalaman saya sepanjang tahun pertama saya berada di Kolej Serumpun, Kolej 14(K14), UPM.

Saya memulakan pengajian saya di Universiti Putra Malaysia pada bulan September 2019 dan telah ditempatkan di kolej kediaman K14. Saya bersyukur kerana rakan-rakan sebilik saya merupakan orang-orang yang sangat baik dan mengambil berat dan kami telah pun menjadi rakan-rakan sebilik sehinggalah penghujung semester yang kedua ini. Banyak perkara, pahit dan manis yang telah kami lalui bersama. Bagi saya mereka merupakan keluarga kedua saya di UPM. Merekalah yang mendorong saya ketika saya rasa ingin berputus asa.

Pada minggu pertama berada di blok dan bilik yang baharu, saya dan rakan-rakan sebilik masih kurang berasa selesa. Tetapi, lama-kelamaan kami dapat membiasakan diri. Sebagai pelajar tahun pertama, kami telah pun mengikuti pertandingan perbarisan antara kolej. Sepanjang empat minggu kami berlatih dengan gigih untuk mempersiapkan diri, kami telah pun mendapat tempat yang ketiga.
Secara amnya, saya sememangnya menikmati saat-saat saya ketika berada di kolej, walaupun terdapat beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku seperti putus bekalan air selama empat hari.

Pada permulaan semester kedua pula, kami hanya dapat berkuliah selama tiga minggu dan kemudiannya kerajaan Malaysia telah menjalankan perintah kawalan pergerakan. Hal ini demikian kerana peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang meningkat secara mendadak. Oleh itu, saya dan seorang rakan sebilik saya terpaksa menjalani perintah kawalan pergerakan di kolej kediaman. Pada tempoh tersebut, kolej kediaman menjadi sangat sunyi kerana kebanyakan pelajar telah pun bergegas pulang sehari sebelum perintah kawalan pergerakan(PKP) dijalankan. Sepanjang tempoh tersebut juga, kami diberikan bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan seharian. Sesampainya satu masa kami, pelajar dari Sabah,diberikan kesempatan untuk pulang dan kos untuk pulang ke Sabah ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Saya dan rakan sebilik saya pun mengambil keputusan untuk pulang.

Itulah dia, antara pengalaman-pengalaman yang saya telah lalui sepanjang tinggal di Kolej Kediaman, Kolej 14. Saya akhiri entri saya di sini. Semoga berjumpa lagi di entri yang bakal mendatang! Sekian.

No comments:

Post a Comment