Friday, July 24, 2020

Kampung Lingan Lama, Papar, Sabah : Mengimbau Zaman Kanak-kanakku

Selamat Datang !

Bersua lagi kita pada entri kali ini. Seperti kebiasaan, saya berharap agar anda semua berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Seperti yang tertera dalam tajuk entri ini, saya akan berkongsi sedikit pengalaman dan cerita tentang zaman kanak-kanak saya di kampung halaman.

Sepanjang tempoh saya membesar di sana, saya telah melalui banyak pengalaman dan kenangan yang sukar untuk dilupakan. Suasananya yang nyaman dan jauh daripada pencemaran bunyi merupakan salah satu sebab saya amat suka menetap di kampung tersebut. Pada waktu petang pula, langitnya sungguh indah kerana tidak ada sebarang pencemaran udara di sekeliling. Langit yang berwarna biru di siang hari akan bertukar kepada warna merah dan jingga pada waktu senja. Kumpulan burung bangau dalam koordinasi berbentuk "V" juga boleh dilihat terbang pulang ke sarang mereka. Pada waktu malam pula, langit malam yang terpampang luas akan dihiasi dengan kluster bintang yang berbagai warna. Suasana tersebut amat sesuai bagi peminat astrofotografi untuk menangkap gambar cakerawala.

Sewaktu saya masih kecil, saya, kakak saya dan seorang anak jiran kami akan sentiasa bermain bersama-sama. Terkadang kami akan pergi bermandi-manda di sungai yang terletak di belakang rumah saya. Oleh sebab kurang kenderaan lalu-lalang di jalan raya, kami juga akan menaiki dan bermain dengan basikal kami. Hari-hari tersebut penuh dengan gelak ketawa.

Satu pengalaman yang paling sukar untuk saya lupakan ialah apabila saya mengikuti nenek saya ke kebun padinya. Sewaktu nenek saya masih hidup, beliau suka berkebun dan menanam padi bukit. Setiap petang saya akan mengikuti beliau ke kebunnya, kakak saya yang berumur empat tahun tua dari saya juga tidak mahu ketinggalan.

Sewaktu saya berada di tahun tiga dan empat, kami mempunyai sebuah kolam ikan yang cukup besar berhampiran dengan rumah. Ia sebesar tasik. Waktu itu, setiap hujung minggu, saudara mara saya akan datang ke rumah dan kami akan menaiki rakit kecil mengelilingi kolam ikan tersebut.

Kesemua waktu-waktu berharga yang telah saya lalui, disimpan rapi oleh saya sebagai memori-memori yang indah. Sesungguhnya, pengalaman-pengalaman tersebut tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.

Baiklah, sekian sahaja perkongsian saya bagi entri kali ini. Semoga kita bersua lagi di entri yang akan datang. :)

No comments:

Post a Comment